Anarkhi Politik, Daulat Rakyat, dan Tri Puruso Dalam Budaya Kekuasaan Jawa
Oleh Moh. Saleeh Rahamad, Dosen University of Malaya, Kuala Lumpur.
Ketika saya mengikuti Konferensi Internasional Kesusasteraan Indonesia XX 2009 di Bandung, Indonesia, pada 5-7 Ogos 2009, berita kematian W.S. Rendra menjadi topik 24 jam dalam televisyen Indonesia. Beliau meninggal dunia selepas sebulan menerima rawatan di Rumah Sakit Mitra Keluarga Kelapa Gading, Jakarta Utara akibat sakit jantung pada 7 Ogos 2009, pukul 22:15 dalam usia 74 tahun.
Berulang-ulang liputan tentang kematian Rendra tersiar dalam media, seperti berita kematian seorang pembesar tertinggi negara jika di Malaysia (itu pun tidak sehebat berita tentang Rendra). Secara indeksikalnya, penyiaran meluas tentang kematian Rendra sedemikian menunjukkan kebesaran tokoh ini pada kaca mata masyarakat dan negara. Demikianlah nasib seseorang berubah apabila situasi politik berubah. Jika masih dalam rejim Orde Baru belum tentu hal sedemikian berlaku kerana Rendra terkenal sebagai penyuara keresahan rakyat dan pengkritik politik yang lantang lalu dimusuhi oleh penguasa politik.
Jenazah Rendra kemudian dikebumikan di kompleks Bengkel Teater, Cipayung-Citayam, Depok selepas solat Jumaat. Bengkel teater milik Rendra ini didirikan pada tahun 1985. Bengkel teater Rendra pada awalnya didirikan di Yogyakarta pada tahun 1967 selepas beliau pulang dari Amerika Syarikat. Ramai seniman lahir daripada bengkel ini seperti Sitok Srengenge, Radhar Panca Dahana, dan Adi Kurdi, tetapi sejak 1977 beliau berdepan dengan kesukaran untuk tampil di khalayak akibat tekanan politik.
Bengkel teaternya juga tidak lagi dapat bergerak dengan aman. Kesukaran ini menyebabkan beliau berhijrah ke Jakarta pada tahun 1987 lalu mendirikan Bengkel Teater Rendra di Cipayung-Citayam, Depok.
Bengkel teater ini menempati kawasan seluas tiga hektar yang terdiri daripada bangunan tempat tinggal Rendra dan keluarga, serta bangunan sanggar untuk latihan drama dan tari. Kawasan itu juga ditanami pelbagai jenis tanaman berupa jati, mahoni, eboni, buluh, turi, mangga, rambutan, jering, tanjung, ubi kayu, dan lain-lain.