Anarkhi Politik, Daulat Rakyat, dan Tri Puruso Dalam Budaya Kekuasaan Jawa

Budaya  

Falsafah W.S. Rendra tegas: Dalam hidup bermasyarakat, setiap manusia tentu berusaha memperluas kemungkinan daripada keinginannya. “Kalau dibiarkan tanpa aturan pasti akan terjadi perbenturan keinginan-keinginan yang sangat dahsyat kacaunya. Satu anarki yang menyeramkan!” katanya. Oleh itu, untuk menjaga daya hidup peribadi dan daya hidup masyarakat, manusia harus membatasi perluasan keinginannya itu dalam batas peraturan yang disebut sebagai “Hukum Kewajaran” (Tri Puruso).

Hukum Kewajaran terdiri daripda tiga perkara: “hukum alam” (peraturan alamiah atau sunnatullah yang tetap berlaku); “hukum masyarakat” yakni konstituisi, undang-undang, etika, adat istiadat, nilai moral dan lain-lain; “hukum akal sihat”, yakni rasionaliti, yang perlu menyingkirkan kepercayaan mistik sama ada yang menjadi pendamping kekuasaan raja mahupun dalam lingkungan kehidupan sosial dan ekonomi.

Manusia yang menentang tiga hukum yang disebut Tri Puruso oleh budaya Jawa leluhurnya itu tergolong sebagai anarkis. Menentang Tri Puruso ibarat njoro langit atau ngebor langit, dan akibatnya akan klumah atau jatuh terlentang. Pendirian Rendra adalah untuk mempertahankan hak rakyat atas perlindungan undang-undang.

Scroll untuk membaca

Scroll untuk membaca

“Nasib saya dalam tatanan negara sama saja dengan nasib rakyat pada umumnya. Jadi dengan memperjuangkan hak hukum rakyat bererti juga saya memperjuangkan hak hukum saya sendiri.” (Disampaikan di Dewan Perwakilan Rakyat pada 7 Julai 1994.) Kerana itu beliau sering melontarkan kritikan sosial melalui puisinya, bukan kerana ideologi politik.

Dalam persidangan Writers of All Countries di Rotterdam, Belanda pada 5-9 Oktober 1986, Rendra menegaskan bahawa peranan penyair ialah memupuk dinamisme mental masyarakat. Ketenangan yang terpencil merupakan suatu kemewahan. “Keheningan adalah suasana firdaus atau barangkali syurga. Tetapi itu bukan tempat tinggal saya. Saya adalah penyair yang hidup di dunia yang miskin akan kemungkinan,” tegas beliau.

Walaupun tidak mahu menyertai politik kepartian, W.S. Rendra tegas dengan pendirian untuk membela dan mempertahankan ideologi Pancasila. Pancasila membawa obor penyatuan rakyat Indonesia dengan ideologi yang jelas seperti yang berikut: Ketuhanan Yang Maha Esa; Kemanusiaan yang adil dan beradab; Persatuan Indonesia; Kerakyatan yang dipimpin oleh hikmat kebijaksanaan dalam permusyawaratan/Perwakilan; Keadilan sosial bagi seluruh rakyat Indonesia.

Beliau tidak ragu-ragu mengkritik penguasa politik yang memilah-milahkan perhatian antara orang kecil dengan orang besar sehingga dalam satu acara di Taman Ismail Marzuki pada tahun 1978 beliau ditangkap. Beliau ditahan selama lima bulan atas tuduhan puisinya menghasut orang ramai sebelum dibebaskan tanpa syarat. Namun demikian, kebebasannya selepas itu dibataskan. Begitulah contoh betapa puisi juga dapat meragut keselesaan penguasa politik. Apakah yang menyebabkan puisi Rendra begitu ditakuti?

Jawapannya jelas: puisi Rendra membela marhaen serta menggoncang kestabilan dan kewewenangan orang politik, pemimpin agama, dan masyarakat yang berpura-pura menjulang bendera keadilan. Antara puisinya yang mewakili ketegasannya sebagai pembela golongan marginal atau subaltern ialah “Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta”, “Aku Tulis Pamplet Ini”, “Sajak Sebatang Lisong”, “Sajak Anak Muda”, “”Seonggok Jagung”, “Sajak Gadis dan Majikan”, “Sajak Tangan”, “Sajak Burung-Burung Kondor”, “Orang-Orang Miskin”,

“Sajak Joki Tobing untuk Widuri”, “Sajak Kenalan Lamamu” dan lain-lain. Rendra menyikapi nasib pelacur, rakyat miskin, perempuan teraniaya, mahasiswa yang menganggur, dan anak muda yang terpinggir daripada arus pembangunan. Puisi-puisinya menjadi suara rakyat, penggugah oknum politik dan penguasa yang berada di puncak feudalisme.

Beliau sangat prihatin pada perempuan yang menjadi mangsa kerakusan lelaki, apatah lagi lelaki yang berkuasa. Rendra menyikapi perempuan dengan emosional seperti dalam sajak “Balada Penantian”, “Balada Anita”, Perjalanan Bu Aminah”, “Perempuan Sial”, “Balada Sumilah”, dan “Kenapa Kautaruh...”. Dalam puisi “Kenapa Kautaruh...” dengan bahasa yang tidak mewah dengan majas yang puitis Rendra menyatakan sikapnya: “Ada banyak masalah wanita/Kecuali dadanya./Para buruh wanita masih kurang terjamin haknya./Metode keluarga berencana/Terlalu mengorbankan wanita./Wanita nakal disebut tunasusila./Lelaki nakal disebut Sang Arjuna.”


Dalam kebanyakan puisinya yang membawa suara marhaenisme, ternyata Rendra menggemari bentuk balada dan tidak mementingkan bahasa puitis. Rendra menggemari gaya ini sejak awal perdampingannya dengan puisi, iaitu sejak dekad `50-an lagi. Sebelum memasuki Universitas Gadjah Mada lagi beliau sudah tertarik pada balada rakyat di Amerika, iaitu lagu-lagu negro, blues, spiritual, tetapi di kampus pensyarahnya mengajak beliau mengenali sastera Inggeris terlebih dahulu.

Ikuti Ulasan-Ulasan Menarik Lainnya dari Penulis Klik di Sini
Image

Kontak Info

Jl. Warung Buncit Raya No 37 Jakarta Selatan 12510 ext

Phone: 021 780 3747

[email protected] (Marketing)

× Image